Sunday, April 4, 2010

Samseng ‘kawal’ ladang sawit

Samseng ‘kawal’ ladang sawit



PENINJAU, Miri: Lebih 200 penduduk dari lima buah rumah panjang di Bukit Kisi di sini telah bertindak meroboh dua pagar besi yang dipasang di dua ladang kelapa sawit di sini oleh sebuah syarikat usahasama.

ROBOH: Pagar di kawasan ladang tersebut yang dirobohkan oleh penduduk rumah panjang.

ROBOH: Pagar di kawasan ladang tersebut yang dirobohkan oleh penduduk rumah panjang.

Tindakan itu dibuat setelah tiada persetujuan dicapai apabila pihak syarikat terbabit enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan Residen Bahagian Miri supaya membuka pagar tersebut kepada penduduk kampung dan pengusaha estet mini kelapa sawit di kawasan ladang tersebut, yang sepatutnya berkuatkuasa pada 20 Februari lalu.

Lima rumah panjang terbabit adalah Rumah Rajit Ambas dan Rumah Jambai Jali di Sungai Bekelit serta Rumah Duat Kalom, Rumah Jeli Naga dan Rumah James Biri. Menurut penduduk terbabit, mereka tidak tahan lagi ‘diseksa’ pihak syarikat terbabit yang melarang mereka masuk dan menuai buah kelapa sawit di ladang masingmasing yang terletak dalam kawasan syarikat tersebut.

Lebih menyeksakan dakwa mereka, syarikat terbabit turut menggunakan khidmat samseng untuk mengawal pagar tersebut sepanjang masa untuk memastikan penduduk kampung tidak masuk ke kawasan mereka dan sekiranya masuk akan dikenakan bayaran antara RM30 hingga RM50 untuk sekali masuk.

“Mereka bukan sahaja melarang kami masuk tetapi turut merompak hasil titik peluh kami dengan mencuri buah sawit dari ladang kami yang merupakan mata pencarian kami sejak lebih dua bulan lalu,” dakwa penduduk. Sementara itu menurut Tuai Rumah (TR) Rajit Ambas, mereka telah mengusahakan ladang kelapa sawit di kawasan itu sejak 1985 dan telah beberapa kali memohon kepada kerajaan untuk mendapatkan geran bagi tanah ladang tersebut.

Pada 2003, permohonan mereka dibenarkan Jabatan Tanah dan Survei yang kemudian melakukan kerjakerja menyukat perimeter ladang.

Bagaimanapun katanya sehingga kini geran tanah bagi kawasan ladang yang telah disukat masih belum dikeluarkan sebaliknya permit pajakan sementara (PL) telah dikeluarkan pada 2006 dan diberikan kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

“Kami tidak minta apa-apa, kami hanya minta agar pagar ini dibuka bagi membolehkan kami masuk ke ladang masing- masing. Kami tahu ini bukan kerja (tindakan) kerajaan tetapi perbuatan pihak tidak berhati perut seperti ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu menurut TR Jambai Jali, sebelum ini mere ka telah memikirkan cara terbaik iaitu berusaha berbincang dengan pihak pengurusan syarikat terbabit agar tidak menyekat laluan masuk ke ladang mereka namun usaha tersebut gagal.

Selain itu katanya, lebih 50 laporan polis telah dibuatnya serta beberapa tuai rumah lain berhubung masalah tersebut namun sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkuasa yang memaksa mereka bertindak demi periuk nasi sendiri.

“Kami sudah tidak tahan menunggu dan ‘dirompak’ begini. Tambahan tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa, sedangkan kami makin terhimpit,” katanya.

Dalam pada itu menurut seorang penduduk, Sunggau Sipok dari Rumah Jambai, pada bulan Februari lepas, dianggarkan lebih dua tan buah sawitnya dicuri beberapa orang samseng tersebut dan kejadian tersebut disaksikannya sendiri.

Sementara itu menurut pengurus syarikat terbabit, Chin Wui Chung mereka membina pagar tersebut bukan bertujuan menghalang kemasukan penduduk rumah panjang tetapi untuk memastikan tiada orang luar masuk ke kawasan tersebut dan mengusahakan ladang di situ.


(sumber: http://www.theborneopost.com/?p=21653)

No comments:

Post a Comment