| KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun  ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan  harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri.(sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/5855-baj )
 Mengulas  belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata,  kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi  salah tadbir negara.
 
 "Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu  keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti  Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan  prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang  juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi.
 
 Ahli  Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua  pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada  kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat.
 
 "Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya.
 
 Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan.
 
 "Bukan  masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah  elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau  Pinang.
 
 Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen.
 
 Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya.
 
 Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion.
 
 Perjuangan Pakatan
 
 Salahuddin  dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000  kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan  yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat  sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.
 
 "Mereka  harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya  khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari  ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya.
 
 Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan.
 
 "Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya.
 
 PAS  sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati  semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut  pampasan daripada kerajaan British.
 
 Namun Najib dalam  pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa  pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang  negara.
 
 "Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya.
 
 | 
  
No comments:
Post a Comment