Friday, February 3, 2012

PRU13: Najib nafi Parlimen bubar minggu depan
Datuk Seri Najib Razak berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

Perdana Menteri berkata masa untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 bergantung kepada banyak faktor.

"Pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

"Buat masa ini, saya turun padang berjumpa rakyat, bukan sahaja saya tapi semua pemimpin kerana ini tanggungjawab sebagai pemimpin supaya rakyat tambah yakin kepada Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di Marang, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya Parlimen akan dibubar minggu depan untuk memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-13.

Perdana Menteri yang enggan mengulas mengenai desas-desus itu, hanya berkata: "Mungkin satu hari nanti mereka dapat meneka dengan tepat. Dulu mereka teka 11.11.11 (11 November 2011) (pembubaran Parlimen), saya tak nak kata apa-apa, saya juga tidak menyangkal apa-apa," katanya.

Ditanya mengenai Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) yang dibubarkan, Najib berkata beliau hairan kenapa parti itu terlalu cepat dibubar sedangkan ia baru sahaja ditubuh dan belum sekali pun diuji dalam pilihan raya umum.

"Kalau kita fikir dalam perjuangan soal menang atau kalah soal lain, kalau nak berjuang kita mesti ada ketahanan. Untuk teruskan perjuangan, apa-apa yang kita nak capai tidak mungkin dapat dizahirkan dalam masa yang begitu singat," katanya.

Beliau berkata BN tidak akan mencampuri urusan dalaman parti yang diketuai bekas anggota Umno, Datuk Zaid Ibrahim itu dan hanya akan melihat langkah bekas angota parti itu seterusnya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu itu, menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

- Bernama
(Sumber: Malaysikini)

No comments:

Post a Comment