Usaha  untuk menubuhkan Kelab Penyokong BN di Sarawak oleh lima wakil rakyat  Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dipecat dan juga keluar  parti tampak rumit.
   
Sementara sebilangan pemimpin BN meragui  penubuhan kelab berkenaan, ada yang berpendapat penubuhannya adalah  kaedah terbaik bagi BN menyelesaikan masalah dalaman yang dialami  parti-parti komponen BN di Sarawak, terutamanya menjelang pilihan raya  umum ke-13 yang boleh diadakan bila-bila masa sekarang hingga Mac 2013.
   
Sebagaimana  yang dinyatakan Ketua Bahagian SPDP Lambir Stewart Aying, BN tidak mahu  memburukkan lagi keadaan hanya dengan mengumumkan bahawa penyandang  berkenaan kini bukan lagi berada dalam BN.
   
"Pertamanya, BN  memerlukan pemimpin untuk mengagih-agihkan dana projek luar bandar.  Siapakah yang boleh melakukannya dengan lebih baik selain para  penyandang ini?
   
"Kedua, jika BN mengumumkan sekarang bahawa  mereka kini sudah di luar BN, parti gabungan ini secara teknikalnya akan  kehilangan wakil rakyat mereka.
   
"BN masih memerlukan mereka  untuk menyokong dasar-dasar semasa perbahasan di Dewan Undangan Negeri  dan Dewan Rakyat," katanya yang dipetik sebagai berkata akhbar tempatan  Sarawak.
   
Bagaimanapun, Stewart percaya waktu paling penting  adalah semasa hari penamaan calon kerana BN perlu memutuskan sama ada  mereka harus membenarkan calon "penyokong
parti" daripada kelab seumpamanya untuk mewakili parti.
Jika  kelab penyokong BN ini dibenarkan berbuat demikian, maka tiada apa yang  akan menghalang mereka yang tidak berpuas hati dengan parti  masing-masing untuk menubuhkan kelab seumpamanya setiap kali mereka  berasa kecewa dengan kepimpinan parti mereka, katanya.
   
Hujah  Stewart, pembentukan parti seumpamanya hanya akan membuka peluang dan  menjadi permulaan tidak baik bagi BN, sebuah parti gabungan 13 parti  komponen.
   
Beberapa pemimpin dalam parti gabungan percaya keadaan di Sarawak memerlukan  kelab seumpamanya diwujudkan.
   
"Demi  (kepentingan) kestabilan politik, ia adalah suatu perkara yang baik  daripada membiarkan mereka menjadi pembangkang, adalah lebih baik mereka  terus menyokong BN," kata seorang ahli politik veteran Datuk Yap Pian  Hon, yang juga ketua penerangan BN Selangor kepada Bernama.
   
"Saya  tidak menggalakkan ahli politik (BN) melakukan perkara ini, tetapi di  dalam keadaan sedemikian, ini (mungkin) menyediakan jalan kompromi  dengan harapan kita akan mendapat lebih banyak undi pada pilihan raya.
"Daripada  membiarkan mereka menyertai pembangkang, adalah lebih baik bagi mereka  yang dipecat oleh parti masing-masing menubuhkan kelab seumpamanya,"  katanta.
Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn pula  berkata ikhtiar berkenaan bukanlah suatu perkara baru, mengambil contoh  kes di Perak apabila beberapa wakil rakyat bebas memilih untuk memihak  kepada BN.
"Sebagai penyokong BN, anda akan mempunyai lebih  kebebasan untuk mengadakan aktiviti. Saya telah melihat keadaan ini di  Perak apabila mereka mengadakan kempen
kesedaran awam yang memberi faedah kepada orang ramai," katanya.
Bagaimanapun,  beliau berkata kelab seumpamanya seharusnya bagi bukan anggota BN dan  mereka yang bukannya anggota mana-mana parti komponen BN.
   
Ini  jelas dinyatakan apabila BN meminda perlembagaannya pada 2010 bagi  membenarkan keanggotaan secara langsung serta sebagai anggota  'bersekutu' dan 'gabungan'.
   
Presiden LDP Datuk VK Liew  menjelaskan pindaan berkenaan dilakukan dengan gari panduan tertentu dan  satu daripadanya adalah sesiapa yang berhasrat menjadi anggota  bersekutu atau gabungan mestilah bukannya anggota mana-mana parti.
   
Syarat lain adalah hanya anggota parti komponnen boleh menjadi calon BN dalam pilihan raya.
   
"Kemungkinan  selepas dua atau tiga tahun, jika mereka berasa bahawa politik adalah  kehidupan mereka atau mereka ingin menjadi calon, mereka mungkin boleh  menyertai parti komponen," kata Liew.
   
Sumber dalaman parti menyatakan bahawa pembentukan Kelab Penyokong BN di Sarawak dijangka membawa beberapa kesan.
   
Pertama, mereka yang dipecat daripada parti mungkin dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi mereka.
   
Terdapat  juga kemungkinan bahawa BN menggunakan formula yang digunakan semasa  pilihan raya negeri pada 1983 bagi menyelesaikan masalah antara Parti  Nasional Sarawak (SNAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang  ketika itu kedua-duanya merupakan parti komponen BN Sarawak.
   
Di  dalam formula itu, kedua-dua parti dibenarkan menggunakan simbol parti  masing-masing untuk bertanding menentang satu sama lain di kawasan yang  menjadi pertikaian, meskipun kedua-duanya adalah parti komponen BN.  Keadaan ini berlaku selepas PBDS yang berpecah daripada SNAP mendesak  untuk bertanding di 16 kawasan dan permintaan ini dibantah keras oleh  SNAP. 
SNAP dan PBDS masing-masing memenangi lapan kerusi, kesemuanya kekal di tangan BN.
Keduanya,  ia boleh mewujudkan duluan keadaan dengan mereka yang setiap kali  mempunyai masalah dengan parti beralih kepada Kelab Penyokong BN.
   
Apatah lagi apabila mereka juga mempunyai peluang untuk dicalonkan semula sebagai calon.
   
Ini  mungkin boleh berlaku mengikut satu formula, seperti yang pernah  dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990 apabila dua calon yang tidak  mempunyai parti - Datuk Billy Abit Joo di Hulu Rejang dan Datuk Joseph  Salang di Julau - yang membenarkan mereka mewakili BN. Kedua-duanya  memenangi kerusi masing-masing.
   
Apa jua keputusannya, seorang  penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan  Pandian, berkata tugas paling penting bagi mereka yang mempromosikan  Kelab Penyokong BN di Sarawak untuk menjelaskan peranannya.
"Bagaimana  ia harus berbeza daripada mana-mana parti komponen BN? Jika anda  dipecat daripada sebuah parti komponen, bagaimana anda boleh terus  memainkan peranan,
menyokong dalam BN? Jika mereka ini ingin bertanding, bagaimana isu ini boleh diselesaikan?" katanya. 
- Bernama
(sumber: Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment