Sunday, April 4, 2010

Guru tidur bawah bilik darjah demi anak Penan

Guru tidur bawah bilik darjah demi anak Penan



LONG LUTIN, Ulu Baram: Empat orang guru di sebuah sekolah rendah di sini ter-masuk sepasang guru suami isteri terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu kerana kediaman guru yang sedia ada tidak mencu-kupi.

DEDIKASI: Guru Sekolah Kebangsaan Long Lutin, Hellen Lihan, 29, berdiri di hadapan rumahnya yang terletak di bawah bilik darjah di Ulu Baram, semalam. Kekurangan prasarana dan kemudahan asas tidak mematahkan semangat Hellen dan suaminya Fanuel Gerawal Edom, 26, untuk terus mendidik anak-anak kaum Penan. — Gambar Bernama

DEDIKASI: Guru Sekolah Kebangsaan Long Lutin, Hellen Lihan, 29, berdiri di hadapan rumahnya yang terletak di bawah bilik darjah di Ulu Baram, semalam. Kekurangan prasarana dan kemudahan asas tidak mematahkan semangat Hellen dan suaminya Fanuel Gerawal Edom, 26, untuk terus mendidik anak-anak kaum Penan. — Gambar Bernama

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin Edward Ngullie Anggun berkata sekolah terbabit yang dibina sekitar awal tahun 1980-an hanya mempunyai empat unit kediaman guru ter- masuk satu unit yang sudah uzur serta hampir runtuh dan tidak cukup untuk menampung 12 guru serta keluarga mereka.

“Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ter- sebut kami terpaksa membina dua bilik untuk kediaman guru di bawah kelas serta satu lagi dijadikan bilik dar-jah kerana kemudahan ke- diaman yang sedia ada memang tidak mencukupi,” katanya kepada Bernama di sini.

Helleh Lihan, 29, guru kelas peralihan di sekolah terbabit berkata dia dan suaminya Fanuel Gerawal Edom, 26, terpaksa tinggal dalam sebuah bilik yang sempit di bawah bilik darjah sejak tiga tahun lalu.

Katanya walaupun begitu mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat untuk tinggal dan ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak orang Penan di kawasan Ulu Baram.

“Sememangnya kami mahu kerajaan menyediakan kemudahan kediaman yang lebih baik khasnya untuk sekolah pedalaman seperti ini, memang susah dan ia tidak dapat digambarkan melainkan pihak yang berwajib sendiri yang datang dan melihat ke sini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi guru di sekolah terbabit Benjamin Lenjan, 45, berkata dia kini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah guru yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

Katanya sejak enam tahun di sekolah terbabit pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendapatkan kediaman baru guru namun setakat ini mereka masih lagi menunggunya dengan penuh sabar.

“Kalau difikirkan rumah guru ini memang tidak lagi selamat untuk diduduki lebih-lebih lagi kedudukannya di tepi sungai dan ketika hujan memang banyak ruang dalam rumah yang basah,” katanya.

Hampir 100 peratus daripada 209 murid di sekolah terbabit adalah anak-anak kaum Penan dari tujuh buah kampung dari sekitar Long Lutin dan semua murid terbabit tinggal di asrama.

Sementara itu guru dari Semenanjung Malaysia iaitu Nor Fazilan Abdul Razak, 26, berasal dari Kedah yang mengajar di SK Long Kevok di sini berkata pada mulanya memang sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan di Ulu Baram.

Katanya masalah utama di sekolah terbabit adalah perhubungan dan pekan yang paling dekatpun mengambil masa kira-kira empat kelima jam perjalanan menggunakan jalan balak dan ia turut bergantung kepada keadaan cuaca.

Rakannya Nor Hasnora Jali dari Pahang berkata selepas melihat nasib masyarakat Penan di Ulu Baram, dia berasa bersemangat untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

Katanya berkhidmat jauh di pedalaman satu perkara yang ditakuti sesetengah guru-guru lepasan maktab namun baginya ia merupakan satu pengalaman baru yang begitu berharga kepada kerjaya seorang guru.

“Apa yang kita buat di sini hari ini nampak kecil, tapi pada masa hadapan ia merupakan satu sumbangan yang amat berharga kepada anak-anak Penan,” katanya.

Sementara itu sempena ‘Program Outreach Community’ anjuran bersama Hospital Pakar Kuching (KcSH) dan syarikat Samling Timber Sdn Bhd, dua sekolah Penan terbabit menerima sumbangan berupa pakaian, beg dan peralatan sekolah dan ia telah disampaikan sendiri oleh Pengarah KcSH iaitu Ngeng Eng Cheng.

Ngeng berkata program kedua selama lima hari di Ulu Baram itu merupakan salah satu usaha bersama yang turut melibatkan beberapa lagi jabatan serta agensi kerajaan serta swasta.

“Dalam program kali ini kita turut membawa pihak Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat Penan,” katanya.

Menurutnya masalah utama penduduk Penan di kawasan terbabit ialah sistem pengangkutan dan ketika ini mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan syarikat Samling Timber yang beroperasi di kawasan terbabit.

Katanya jika tiada pengangkutan syarikat pembalakan terbabit, penduduk Penan terpaksa menanggung kos pengangkutan sekitar RM300 ke RM500 untuk ke pekan perdekatan termasuk ke Miri. — Bernama

( sumber: http://www.theborneopost.com/?p=21256)

No comments:

Post a Comment