Khalid Ibrahim patut letak jawatan - TPM
BANDAR SERI BEGAWAN 25 Jan. - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewajarnya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor setelah usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak diluluskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usul tersebut bukan sahaja tidak sepatutnya dibawa ke sidang DUN bahkan menimbulkan suasana kurang selesa masyarakat kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang.
Katanya, sidang DUN itu diadakan hanya kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru walaupun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Kenapa mesti bawa isu pelantikan SUK itu ke sidang DUN, kalau sudah kalah (usul ditolak) dia mesti meletakkan jawatan, keadaan sekarang ini semakin bercempera," katanya ketika menjawab soalan pada sesi dialog sempena majlis makan malam bersama kira-kira 250 rakyat Malaysia di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini malam ini.
Sebelum itu, seorang jemputan menyentuh tentang pelbagai perkara yang dipolitikkan di Malaysia sehingga menyebabkan suasana dalam negara dilihat sebagai 'panas'.
Muhyiddin mengakui, suasana politik sekarang memang terlalu panas kerana banyak sangat perkara yang dipolitikkan oleh pakatan pembangkang termasuk pelantikan SUK.
Katanya, kerajaan negeri di bawah pembangkang sepatutnya mengetepikan soal politik dan memberi tumpuan perkhidmatan kepada rakyat. - Utusan
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info