Sunday, August 2, 2009

Pembalakan jejaskan sumber makanan




Pembalakan jejaskan sumber makanan
Oleh Saibi Gi

Kekurangan makanan di kalangan

penduduk Penan Ulu Belaga kesan aktiviti tersebut

KUCHING: Kekurangan makanan di kalangan penduduk Penan di enam kampung, Ulu Belaga adalah antara kesan daripada aktiviti pembalakan yang berleluasa, kata Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing.

Menurut beliau komuniti itu bergantung kepada hutan sebagai sumber utama untuk mendapatkan makanan, sama ada tumbuhan atau haiwan.

“Pada masa lampau, kaum Penan boleh hidup (tidak kebuluran) kerana alam sekitar tidak diganggu oleh aktiviti pembalakan.

“Makanan seperti pokok sagu liar boleh didapati dengan banyak dan mudah, tetapi sejak kebelakangan ini ia agak berkurangan akibat aktiviti pembalakan berleluasa di kawasan perburuan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun pada Khamis lepas berkata kira-kira 3,000 orang Penan diancam kebuluran ekoran tanaman mereka musnah dirosakkan binatang liar.

Mereka dikatakan terpaksa mencari sumber makanan dari hutan tetapi tidak memadai.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata kekurangan makanan di kalangan komuniti itu juga mungkin boleh dikaitkan dengan penebangan hutan untuk pembukaan ladang kelapa sawit.

Hutan yang tidak diganggu oleh aktiviti pembalakan dan perladangan katanya merupakan ‘pasar’ bagi mendapatkan sumber-sumber makanan.

Beliau mengesyorkan agar hutan di kawasan berhampiran penempatan kaum Penan tidak ditebang.

“Sekarang kita perlu lihat apakah cara terbaik bagi membantu mereka untuk jangka masa panjang,” katanya.

Jumlah sebenar yang dilanda masalah kekurangan makanan menurut beliau ialah kira-kira 1,000 orang.

Tetapi beliau khuatir jumlah itu akan bertambah jika tidak ada bantuan dihulurkan segera.

Kerajaan menurut beliau kini sedang berusaha menghulurkan bantuan makanan.

Selain itu PRS katanya kini sedang mengumpul bantuan.

“Dalam beberapa hari lagi kita akan menghantar bantuan makanan dengan bantuan tentera untuk menerbangkannya,” katanya.

(sumber Borneopost online)

No comments: