Tuesday, August 17, 2010

Amaran TPM kepada MCA

Amaran TPM kepada MCA

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Timbalan Perdana Menteri mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan dan tuntutan kaum sendiri sehingga boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa setiap kaum berhak memperjuangkan nasib kumpulan yang diwakili tetapi bagaimanapun perbuatan itu jangan sesekali dilihat boleh menjejaskan sensitiviti kaum lain.

Tegas beliau, MCA harus menginsafi bahawa ia merupakan sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN) yang sudah tentu mempunyai prinsip yang perlu dihormati secara bersama.

"Saya tidak percaya MCA sanggup mengorbankan setiakawan yang dipupuk sejak sekian lama. Bagi saya ia amat penting sekali. UMNO pun memperjuangkan nasib Melayu tetapi pada masa sama ia turut menjaga kepentingan kaum lain.

"Jangan kita timbulkan kemarahan, keresahan hanya kerana kita nak pertahankan kaum kita atau resolusi kita hingga tidak mengambil kira sensitiviti dan hak kaum lain.

"Itu barulah adil namanya. Jika kita pertahankan kaum kita secara ekstrem dan perjuangan itu dilihat sebagai berat sebelah kerana tidak mengambil kira kepentingan lain, maka itu merupakan sesuatu yang tidak baik," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menegaskan, parti itu tidak takut berkongsi pandangan sama dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada masyarakat Cina.

Soi Lek yang menjawab peringatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MCA yang kini diterajui kepimpinan baru percaya bahawa pendirian itu mempunyai asas dan wajar.

Sebelum itu, Hishammuddin mengingatkan agar MCA tidak mengambil pendirian menyimpang daripada perjuangan yang sudah disepakati sekian lama dalam BN.

Peringatan Naib Presiden UMNO itu dibuat ekoran kenyataan Soi Lek yang mendesak kerajaan supaya mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Tambah Muhyiddin, soal sama ada MCA ingin bersama DAP merupakan perkara kedua kerana apa yang penting pendirian yang diambil mereka tidak sepatutnya boleh menimbulkan prasangka, buruk sangka, kemarahan dan mengguris sensitiviti kaum lain.

"Jika ia mempunyai hubung kait dengan dasar kerajaan, MCA harus tahu dan faham apakah pendirian kerajaan tentang soal hak istimewa bumiputera dan semangat menyeimbangkan pengagihan kekayaan dalam negara ini.

"Pendirian kerajaan adalah amat jelas dalam perkara ini iaitu kita tidak akan berkompromi terutama dalam soal menyentuh kepentingan kaum dan bumiputera," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan bahawa tuntutan Melayu untuk mendapat 30 peratus kekayaan bukannya satu tuntutan melampau kerana sasaran Dasar Ekonomi Baru itu sehingga kini masih belum tercapai.

Sedangkan, katanya, kaum Cina sudah menguasai lebih daripada 40 peratus kekayaan negara dan Melayu tidak pernah sekalipun iri hati.

"Kecualilah jika kekayaan Cina berbanding dahulu semakin menurun kerana diambil oleh Melayu, itu boleh kita faham dan pertimbang.

"Jadi adakah adil jika MCA tuntut supaya apa yang diperjuangkan Melayu untuk menguasai 30 peratus itu secara adil itu sebagai sesuatu yang tidak wajar," katanya.

Tegas Muhyiddin, desakan MCA itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sejarah membuktikan bahawa kepincangan dalam masyarakat telah berlaku kerana pengagihan kekayaan tidak dilakukan secara adil dan saksama.

"Ia sebagaimana yang berlaku pada 1969. Kerajaan berharap ia tidak berlaku lagi. Oleh sebab itulah kita sasarkan ada perseimbangan penguasaan kekayaan negara secara adil dan saksama," katanya.


( sumber http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp)

No comments: