Wednesday, June 22, 2011

Kekurangan Wakil Rakyat Cina

Kekurangan wakil rakyat Cina sukarkan tubuh kabinet baru

Posted on June 22, 2011, Wednesday

KUCHING: Kekurangan wakil rakyat Cina diakui menjadi kesukaran dalam menubuhkan barisan kabinet negeri baru.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia ekoran daripada kekalahan besar kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada pilihan raya negeri lepas yang tewas 13 daripada 19 kerusi, dengan empat daripadanya ialah kerusi wakil rakyat Bumiputera.

“Sebenarnya ya (kepayahan) tetapi dari segi politik kadang kala ada pahit manisnya dan apa yang penting saya mahu ada cara lain lebih baik untuk menggalakan penyertaan kaum Cina dalam kerajaan.

“Ia amat penting kerana secara asasnya saya mahukan Sarawak sentiasa menjadi nege-ri pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepa-da pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persidang-an Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Sallahuddin di sini, semalam.

Berhubung rombakan kabinet baru, Taib menjelaskan beliau memerlukan sedikit masa untuk mengkaji situasi politik semasa sebelum membuat rombakan sedia ada.

“Biar saya memikirkan ia dengan sebaiknya. Saya perlu mengkaji (keadaan politik semasa) dengan baik. Situasi kini agak kompleks.

“Perkara utama yang saya amat bimbangkan kini ialah, bagaimana saya akan mencari peluang bagi membolehkan wakil rakyat Cina meluahkan suara mereka dengan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu menjawab pertanyaan mengenai susunan kerusi, yang mana Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing kini duduk di kerusi bekas timbalan ketua menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dalam susunan kedudukan kerusi DUN, sekali gus mengaitkan Masing sebagai timbalan ketua menteri yang baru, Taib berkata perkara itu hanya spekulasi.

“Ia hanya spekulasi.., sama ada kita mempunyai seorang atau tiga atau empat timbalan ketua menteri, saya tidak tahu.

“Biar kita lihat dulu penstrukturan semula kabinet,” katanya.

Ditanya sama ada jawatan timbalan ketua menteri itu diperuntukan kepada SUPP, Taib menjelaskan: “Kita lihat apa yang akan berlaku. Saya perlu berbincang dengan menteri kabinet lain dalam pelbagai cara.”

(sumber: Borneopost)

No comments: