Tuesday, July 28, 2009

Guna Tayar Diluluskan SIRIM - JKJR


July 10, 2009 18:13 PM

Pemilik Kenderaan Mesti

Guna Tayar Diluluskan SIRIM - JKJR

PETALING JAYA, 10 Julai (Bernama) -- Pemilik kenderaan diminta hanya menggunakan tayar yang diluluskan oleh Sirim sahaja demi memastikan keselamatan pemandu, penumpang dan semua pengguna jalan raya terjamin.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata pemilik kenderaan dalam semua jenis kategori daripada motosikal hingga lori, perlu mempunyai kesedaran mengenai penggunaan tayar yang sesuai kerana penggunaan tayar yang tidak berkualiti dan tidak diluluskan oleh Sirim dikenalpasti sebagai antara punca kemalangan jalan raya.

"Keselamatan kenderaan banyak bergantung kepada penggunaan tayar yang sesuai kerana sekiranya pemilik kenderaan menggunakan tayar yang tidak diluluskan oleh Sirim, ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu dan penumpang mereka malah ia juga akan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JKJR dan persatuan pengilang-pengilang Tayar di Malaysia mengenai Promosi Isu-Isu Keselamatan Tayar di sini Jumaat.

Persatuan yang terbabit terdiri daripada Malaysian Association of Tyre Retreaders and Dealer Society, Tyre Retreading Manufacturers Association of Malaysia dan Association of Tyre Importers Kuala Lumpur.

Suret Singh berkata MoU itu akan memperluaskan dan meningkatkan kerjasama dengan pengilang tayar dalam usaha JKJR menghalang pengimpotan, pengedaran dan penjualan tayar yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan Sirim.

"JKJR merancang untuk mengadakan operasi penyamaran bersama-sama dengan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Polis Diraja Malaysia pada masa yang terdekat ini untuk memastikan tidak wujudnya penjualan tayar tanpa kelulusan Sirim di pasaran," katanya.

Beliau berkata persatuan pengilang tayar di Malaysia pula akan memainkan peranan mereka dalam mempromosikan penggunaan tayar yang sesuai kepada pemilik kenderaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya akibat penggunaan tayar.

-- BERNAMA

No comments: