Tuesday, September 29, 2009

Semua Kaum Dilayan Sama Rata

KUCHING 29 Sept. - Tuduhan kaum Penan dipinggir tidak benar sama sekali kerana kerajaan selama ini memberi layanan dan hak sama rata kepada semua kaum di negeri ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, dalam hal itu apabila timbulnya dakwaan kerajaan negeri mengabaikan kaum Penan, maka banyak pihak yang meraguinya.
"Walaupun kaum Penan merupakan kaum minoriti, kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu kaum itu supaya maju sama seperti kaum-kaum yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Taman Malihah di sini semalam.
Sebelum ini banyak dakwaan terutamanya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing bahawa kaum Penan ditindas dan dipinggirkan daripada arus kemajuan.
Malah kaum wanita Penan turut didakwa mengalami penderaan seksual oleh pembalak di kawasan pedalaman Baram.
Daud berkata, kerajaan sentiasa membantu kaum itu dalam semua bidang termasuk dalam bidang pendidikan supaya mereka boleh belajar sehingga ke peringkat universiti.
"Ini kerana kerajaan menyedari hanya melalui pendidikan sahaja sesuatu kaum itu dapat mengubah nasib mereka," kata beliau.
Mengenai sambutan perayaan Aidilfitri dan juga perayaan lain di negara ini, beliau berkata ia mestilah disambut secara bersama selaras dengan konsep 1Malaysia.
Konsep 1Malaysia, katanya, melambangkan perpaduan yang kuat di kalangan masyarakat walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
(sumber: utusan malaysia online)

No comments: