Wednesday, August 17, 2011

Ambil tindakan ?

Ambil tindakan terhadap Ambiga

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa mendesak Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga dan para pengikutnya.

Naib Presiden Gabungan NGO Malaysia, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak berkata, sudah tiba masanya bagi semua NGO tanpa mengira bangsa dan agama berganding bahu mendesak tindakan segera ke atas petualang-petualang yang berpotensi menyebabkan kerosakan terhadap negara ini.

“Kenapa NGO perlu takut memperjuangkan kebenaran? Adakah NGO mahu terus membisu melihat golongan yang membelakangi agama, bangsa dan negara terus bebas melakukan kemungkaran demi kepentingan politik mereka?

“Kini tiba masanya semua NGO menggembleng tenaga dalam memastikan kedaulatan dan kredibiliti negara terus terpelihara daripada anasir-anasir licik yang sentiasa mencari peluang untuk menjejaskan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kelmarin memberi kata dua kepada Jabatan Peguam Negara supaya mendakwa segera Ambiga atau bakal berdepan dengan tindakan luar jangkaan daripada pertubuhan itu.

Pada masa sama, Presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas ‘pelakon’ dalam video seks mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mendakwa pihak yang mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Jelas Reny Rahayu, pihaknya yang terdiri daripada 500 NGO berbilang kaum dan agama turut menggesa kerajaan menghukum pihak yang menabur fitnah kononnya pihak polis bertindak kejam terhadap peserta perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu.

“Kami akan sentiasa peka dan sensitif terhadap pihak yang mahu memutarbelitkan pemikiran rakyat serta merosakkan negara. Kami sebulat suara akan berjuang habis-habisan supaya agenda songsang mereka ini tidak akan tercapai,” ujarnya.

( Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm)

No comments: