 Lim berkata beliau memohon maaf sepenuhnya kepada baginda dan rakyat negeri Johor.
Lim berkata beliau memohon maaf sepenuhnya kepada baginda dan rakyat negeri Johor.Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini, Lim berkata, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri lain.
Berikut adalah kenyataan penuh Guan Eng.
Sebagai  rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon  maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan  Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap  kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.
Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.
Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.
Dalam  laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak  mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah DYMM  Sultan Johor.
Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.
Saya  akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang  di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang  diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu  dibuat.
Setakat ini, selain daripada pita rakaman  yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa  yang saya katakan di Singapura atau di Australia. Saya mempunyai akses  untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih  sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura  yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.
Saya  telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di  mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama. 
Sementara  itu, akhbar-akhbar utama hari ini melaporkan Sultan Johor tersinggung  dengan dakwaan yang Guan Eng telah memburukan negeri itu dan ketua  menteri Pulau Pinang itu  didakwa berkata rakyat Singapura menghadapi  kemungkinan diculik jika ke negeri itu.
Berita Harian melaporkan baginda tersinggung bila mendengar tuduhan tidak berasas dibuat berkaitan keadaan Johor.
Menurut  baginda, polis Johor yang dipimpin Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff,  selama ini sentiasa menunaikan tanggungjawab diamanahkan dalam menjaga  keselaatan dan keamanan untuk kesejahteraan seluruh rakyat dan pelancong  ke negeri ini.
Pada 12 Ogos lalu,  Lim didakwa  memburukkan negeri itu dalam pertemuan dengan wartawan asing di  Singapura, dan rakaman audio yang dikatakan beliau memburukkan Johor,  telah disiarkan dalam Buletin Utama TV3.
Kenyataan Lim itu dilaporkan mengundang kemarahan pelbagai pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak setiausaha agung DAP itu memohon maaf di atas kenyataaan itu.
Bahkan kira-kira 200,000 ahli Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu Johor dilaporkan mahu tindakan undang-undang diambil kepada Lim dan menasihatkan beliau agar tidak masuk ke negeri tersebut.
( sumber: http://www.malaysiakini.com/news/177304 )
 
No comments:
Post a Comment