Penyokong Pas hilang pedoman
PUTRAJAYA 4 Okt. - Para penyokong Pas dianggap sudah hilang pedoman apabila sanggup menggunakan kekerasan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan penyokong Pas melakukan provokasi menyebabkan tercetus insiden serangan terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika berjalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.
''Saya kecewa... Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Abdul Azeez diprovokasi oleh penyokong Pas sedangkan kita tidak buat apa-apa, kita senyap saja, mereka cakap macam-macam.
''Abdul Azeez kena tumbuk sembilan kali sampai bengkak," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Putrajaya di Presint 9 di sini, semalam.
Beliau mengulas tindakan provokasi sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Pas mengeluarkan kata-kata kesat malah menumbuk Abdul Azeez sekali gus mencemarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang itu.
Insiden sama turut melibatkan Ismail Sabri yang nyaris-nyaris mengalami nasib sama ketika menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pilihan raya kecil tersebut diadakan bagi memilih wakil rakyat dan bukannya gelanggang untuk menampilkan perbuatan dan sikap samseng.
''Walhal pada masa itu penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) pun ada yang hendak menerpa tetapi kita ini tertib, kita kata jangan.
''Saya sendiri melalui jalan yang dipenuhi penyokong Pas, mereka menjerit-jerit ke arah saya tetapi memandangkan saya berada dalam kenderaan, jadi saya diam saja," ujarnya.
Beliau berharap para pengundi bersikap matang dalam membuat pemilihan kerana mereka sudah mengenali latar belakang calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan apa yang kerajaan telah lakukan di Port Dickson.
''Saya harap tidak ada kejadian keganasan berlaku semasa hari pengundian nanti dan kempen berjalan secara baik, ini kerana kita amat percaya kepada soal perpaduan," katanya.
(addthis_pub = 'UtusanOnline';)
No comments:
Post a Comment