Thursday, October 8, 2009

Taiwan Sea Party Labur RM2 Bln Di Hab Halal Tanjung Manis

SARIKEI, 8 Okt (Bernama) -- Sea Party International Co Ltd (SPI) Taiwan, bersama anak syarikatnya, akan melabur RM2 bilion di hab Halal Tanjung Manis di sini.

Menerusi pembangunan fasa pertama, SPI akan membelanjakan RM318 juta untuk aktiviti akuakultur seperti penternakan tilapia, algae hijau dan pengeluaran kolegen dan gelatin halal.

Fasa kedua melibatkan pengeluaran gelatin daripada sisik, tulang dan kulit tilapia, penternakan udang secara organik serta program pembangunan vendor.

Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud Khamis melakukan pecah tanah pembinaan pusat pembangunan dan penyelidikan kumpulan bernilai RM30 juta di Tanjung Manis, kira-kira 30 km dari sini.

Presiden SPI, Dr Ray Lin, berkata majlis itu "bakal menjadi titik permulaan untuk menjadikan hab halal itu dikenali di seluruh dunia sebagai pengeluar dan pengedar makanan halal."

Beliau berkata SPI mendapat sokongan industri perladangan dan perikanan di Taiwan.

"Kami juga mendapat bantuan daripada profesor dari National Taiwan Ocean University dan National Taiwan University of Science and Technology," katanya pada majlis itu.

Lin berkata projek cadangan kumpulan itu akan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan.

"Mereka akan memberi bantuan dan latihan dalam ladang ikan dan udang supaya mampu menghasilkan produk halal berkualiti tinggi," katanya.

"Program vendor kami akan membantu mereka membiakkan ikan dan udang menggunakan bioteknologi," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mesra alam sekitar dan akan memaksimumkan produktiviti serta meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar.

Lin berkata tiga unit kumpulan itu -- Sea Party Industry Sdn Bhd, Sea Party Technology Sdn Bhd dan Sea Party Biotech Industry Sdn Bhd -- akan memberi tumpuan terhadap pengilangan, mengeluarkan ayam dan telur bioteknologi dan pemprosesan hiliran.

"Sea Party Biotech akan memain peranan yang lebih besar berbanding anak syarikat lain menerusi fasa pertama pembangunan memandangkan ia mempunyai tanggungjawab untuk kebanyakan produk pemprosesan hiliran.

"Ia akan memproses sisa tilapia seperti tulang, kulit dan sisik menjadi kolegen dan gelatin dalam bentuk kapsul lembut dan keras," katanya.

Sea Party Technology R&D Sdn Bhd akan memberi tumpuan untuk mengubah Hab Halal Tanjung Manis sebagai pusat dunia untuk produk makanan halal berkualiti dunia, katanya.

Lin yakin meneusi sokongan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, teknologi Taiwan boleh aplikasikan untuk meningkatkan sektor pertanian dan akuakultur Malaysia.
-- BERNAMA

No comments: