Saturday, October 1, 2011

KAUM CINA PERLU SALAHKAN DIRI SENDIRI DALAM POLITIK SARAWAK



Kaum Cina terpaksa menerima hakikat bahawa ketiadaan wakil baru mereka dalam barisan Kabinet Sarawak yang diumumkan Pehin Sri Taib Mahmud Khamis lepas. Pemansuhan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 yang dikhususkan kepada SUPP yang diwakili kaum Cina dan ketiadaan Menteri Muda yang baru dari kalangan kaum Cina adalah hak mutlak Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum ini, Dato’ Sri Wong Soon Koh disebut-sebut sebagai calon terbaik SUPP untuk jawatan itu namun ia tidak dipersetujui beberapa perwakilan dalam SUPP. Ura-ura jawatan itu akan diberikan kepada Presiden PRS, Tan Sri James Masing juga kedegaran, tetapi Taib lebih selesa mengekalkan James Masing kepada jawatan yang sedia ada. Bagaimanapun, penjenamaan baru jawatan menteri kanan kepada Pengerusi PRS, Pengerusi SPDP dan wakil tunggal Cina yang mempunyai jawatan dalam SUPP, Wong Soon Koh adalah satu pengiktirafan ke atas mereka yang menang dalam PRN Sarawak lepas.

“Keputusan itu merupakan budi bicara Ketua Menteri Sarawak. Sudah tentu tidak semua pihak yang berpuas hati dan bersetuju dengan keputusan ini. Jika ini berlaku sudah lama kita berada dalam syurga”.

Presiden SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam

Melihat kepada barisan Kabinet Sarawak yang baru, semestinya SUPP berasa sangat sedih. Namun, SUPP harus menerima hakikat bahawa keputusan itu adalah kehendak rakyat Cina yang menolak kepimpinan SUPP dan BN. Dan kini, rakyat Cina Sarawak terpaksa menerima hakikat.

Sebelum ini, SUPP tewas 13 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke-10 April lepas.


Keputusan kaum Cina yang menyokong wakil rakyat daripada DAP dalam PRN Sarawak dan keputusan ketiadaan wakil rakyat Cina dalam menduduki jawatan Timbalan Ketua Menteri adalah susulan daripada kehendak kaum Cina. Justeru, dalam hal ini kaum Cina di Sarawak jangan salahkan kerajaan dan Barisan Nasional.

Persoalannya, apakah DAP yang dikatakan mewakili kaum Cina dapat membantu mereka dalam menjaga kepentingan kaum Cina di Sarawak?

Umum mengetahui, kepimpinan DAP di Sarawak boleh dikatakan sama seperti di Semenanjung. Mereka lebih banyak bercakap dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan sehingga sanggup mengekploitasi apa saja keadaan demi untuk meraih sokongan. Kebanyakan pemimpin DAP di Sarawak mendapat tunjuk ajar daripada pemimpin DAP Pusat di Semenanjung.

Sepanjang tempoh tahun 2006 sehingga tahun 2011, kebanyakan pemimpin DAP yang menang dan berjaya mempertahankan kawasan DUN masing-masing bukanlah disebabkan kepimpinan mereka berjaya sebaliknya kejayaan mereka pada PRN Sarawak lepas adalah berpunca daripada sikap pengundi Cina yang benci kepada kerajaan. Sikap ini mempunyai kaitannya dengan kepimpinan SUPP yang dikatakan lemah dan bersikap yakin dan diselaputi perasaan ego.

Untuk itu, bagi penggal pentadbiran yang ke-10 ini, rakyat Cina terpaksa menerima hakikat bahawa suara mereka dalam kerajaan tidak sebesar ego mereka sebelum ini. Dengan hanya diwakili 2 orang wakil rakyat kaum Cina, kali ini menampakkan suara-suara kaum Cina lebih bersifat menentang.

Dalam melayani konsep yang adil dan saksama, penduduk Bumiputera di Sarawak harus diberi pertimbangan yang sewajarnya dari segi kepentingan dan keperluan memandangkan mereka ini yang banyak memberikan kemenangan yang besar ke atas BN. Oleh yang demikian, sewajarnya perlantikan beberapa Menteri Muda yang yang berkhidmat di kebanyakan kawasan luar bandar sebenarnya sebagai petunjuk ucapan terima kasih kerajaan ke atas rakyat Bumiptera.

(sumber: http://cetusankenyalang.blogspot.com/2011/10/kaum-cina-perlu-salahkan-diri-sendiri.html

No comments: