Membela rakyat, sejahtera negara
KUALA LUMPUR 7 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi meneruskan agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengetepikan strategi untuk membangunkan negara.
Bertemakan Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Bajet 2012 yang merupakan bajet kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Najib, bakal menjadi pemacu untuk mencapai Wawasan 2020 dan matlamat negara berpendapatan tinggi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dengan itu menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan di bawah Bajet 2012 iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.
Belanjawan kali ini begitu menyeluruh sehingga menyentuh secara langsung golongan akar umbi melalui pemberian pelbagai insentif yang tidak dijangka termasuk bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, selain manfaat keseluruhan RM7,560 untuk pemilik teksi bajet bagi meringankan beban mereka.
Turut menerima insentif Bajet 2012 ialah warga emas, peneroka Felda, nelayan, wanita dan belia.
Golongan penjawat awam pula terus menerima imbuhan berganda apabila Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 mengikut gred selain bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibayar pada Disember ini.
Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara apabila mengumumkan pelarasan pencen dua peratus setahun secara automatik mulai 2013 di samping menerima bayaran khas RM500.
Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan yuran tambahan sekolah mulai tahun depan, pemberian bantuan RM100 kepada semua pelajar daripada tahun satu hingga tingkatan lima, selain baucar buku RM200 kepada semua pelajar warga Malaysia daripada tingkatan enam hinggalah ke universiti.
Najib juga sempat menyindir pembangkang yang sering menguar -uarkan konsep negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah sejak sekian lama mengamalkannya.
“Keseluruhannya subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?” katanya.
Bajet 2012 menyediakan peruntukan berjumlah RM232.8 bilion meliputi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek bagi tahun depan di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion untuk merancakkan pelaburan.
Perdana Menteri turut mengumumkan empat dana khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempergiatkan industri itu.
Dalam pada itu, berpegang kepada falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib turut menjanjikan proses besar islah undang-undang di bawah Program Transformasi Politik bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara moden dan progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.
“Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat, ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah sekalipun menengah atau tinggi dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa,” katanya.
Perdana Menteri mengakhiri ucapan belanjawannya yang memakan masa dua jam itu dengan menegaskan kerajaan BN tidak tunduk kepada tekanan atau paksaan untuk mengambil jalan benar dan betul demi warga Malaysia.
“Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukan dibuat-buat atau ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan sahsiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak,” tegasnya.
( sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011)
No comments:
Post a Comment